ARKIB : 20/07/2012
KUALA LUMPUR: Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) dijangkakan mampu
mencapai sasaran jualan sehingga RM2.6 bilion tahun depan ekoran
pembukaan beberapa pasar raya besarnya. Pengarah Urusannya, Datuk (Dr)
Ameer Ali Mydin berkata, pasar raya baru di Meru dan Manjoi, Perak yang
telah dibuka serta dua lagi yang bakal dibuka tahun ini di Jasin Melaka
dan Gopeng, Perak dapat meningkatkan keuntungan kepada syarikat pada
masa depan.
“Bagi Tahun Kewangan Berakhir Mac 2012, MYDIN mencatatkan jualan sebanyak RM2.2 bilion dan kita menetapkan sasaran memperoleh RM2.6 bilion tahun depan berdasarkan sambutan menggalakkan daripada pelanggan. “Pembukaan ini dijangka akan merancakkan lagi prestasi jualan syarikat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Kempen Mydin, Debit Untuk Menang di Menara Maybank di sini hari ini. Seramai 20 pemenang dipilih setiap bulan dan 10 hadiah wang tunai akan diberi setiap hari kepada pelanggan yang berbelanja sekurang-kurangnya RM50 di mana-mana cawangan MYDIN dengan menggunakan Visa Debit Maybankard, Mastercard Platinum Debit Maybankard atau kad ATM Bankcard.
Menurut Ameer, MYDIN juga akan membuka enam lagi cawangan di Seremban 2 di Negeri Sembilan, Taman Pelangi dan Taman Ranting (Johor); Parit Buntar (Perak); Gong Badak (Terengganu) serta Bukit Mertajam (Pulau Pinang) pada tahun depan yang dijangka menelan kos RM750 juta. Sementara itu, beliau berkata, MYDIN menjana keuntungan yang tinggi menjelang sambutan Hari Raya dan menjelang musim sekolah dibuka. “MYDIN mendapat perhatian orang ramai kerana menawarkan harga yang murah berbanding harga pasaran dengan kualiti yang terbaik serta bertepatan dengan keadaan ekonomi semasa.
Rujukan: