Social Icons

google plus email

Tuesday, 29 October 2013

Otai Burger Tarik Nafas Lega PNS Setuju Salur Baki Pembiayaan Demi Pembangunan Industri Francais Berterusan



Otai Franchise Sdn Bhd kini boleh menarik nafas lega apabila Perbadanan Nasional Bhd (PNS) menyalurkan pembiayaan tertangguh kepada 19 francaisi di bawah seliaan pengendali francais Otai Burger itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Suhaimi Abas berkata, masalah kelewatan saluran pembiayaan sudah pun diselesaikan menerusi perbincangan bersama PNS pada minggu lalu.

Menurutnya, jumlah francaisi yang sepatutnya menerima pembiayaan adalah 21 orang, namun dua daripadanya sudah pun menarik diri lebih awal.

“Sekarang hanya tinggal 19 orang, empat pembiayaan sudah pun dikeluarkan pada 26 Ogos dan satu lagi pada 27 Ogos lalu.

“Selebihnya, 14 francaisi akan menerima saluran pembiayaan dari PNS dalam waktu terdekat,” katanya.

Sinar Harian siaran pada 24 Ogos lalu menyiarkan laporan mengenai masalah Otai Burger mengenai kelewatan PNS menyalurkan pembiayaan kepada francaisi.

Tempoh menunggu terlalu lama menyebabkan terdapat bakal francaisi akhirnya menarik diri dari meneruskan perjuangan untuk menjadi usahawan.

Ia sedikit-sebanyak menjejaskan kredibiliti Otai Burger yang selama ini berperanan untuk melahirkan usahawan Bumiputera dengan modal terendah.

Kelewatan yang berlaku turut menyebabkan kerugian tanpa pulangan berpatutan berikutan sebelum ini modal sejumlah besar sudah dilaburkan bagi tujuan itu.

Perbincangan antara Otai Burger dan PNS minggu lalu membuahkan hasil, sekali gus menjadikan jumlah francaisi Otai Burger meningkat kepada 51 orang.

Bagaimanapun, Suhaimi berkata, Otai Burger akan menutup permohonan baru untuk francaisi buat sementara waktu untuk tujuan penilaian bersama PNS.

“Sepanjang tempoh ini, kami mahu menambahbaik kualiti sistem francais supaya perniagaan francaisi sedia ada dan francaisi baru kelak lebih kukuh.

“Bagaimanapun, ia mungkin akan dipendekkan sekiranya PNS melihat perubahan dan perkembangan positif Otai Burger,” katanya.

Pembangunan usahawan tidak boleh dilakukan dalam waktu singkat, ia sebenarnya mengambil masa jika mahu usahawan yang benar-benar berkualiti.

Pun begitu, masih terdapat segelintir usahawan mengambil sikap remeh-temeh dengan melihat perniagaan Otai Burger sukar untuk berkembang.

“Mereka mempertikaikan jualan ketika baru mula berniaga atau bulan puasa (Ramadan), jadi sudah tentu prestasinya masih rendah dan menyusut,” katanya.

Dalam tempoh enam bulan, Otai Burger mensasarkan jualan harian sekurang-kurangnya 100 biji burger bagi setiap kiosk, sehingga mencecah RM300.

Suhaimi berkata, bagi meningkatkan jualan per kiosk, terdapat rancangan untuk memperkenalkan menu baru iaitu burger dengan sos lada hitam.

“Pengenalan menu baru secara komersial bermula minggu ini diharapkan dapat meningkatkan jualan harian semasa hanya antara 60 dan 80 biji,” katanya.

Antara inisiatif lain, Otai Burger turut memperhebatkan jualan sepanjang Ramadan dengan memperkenalkan promosi dua burger biasa pada harga RM5.

Pelanggan akan mendapat penjimatan sebanyak 60 sen berikutan harga jualan bagi sebiji burger biasa adalah RM2.80.

Ketika ditanya mengenai rundingan lain, Suhaimi berkata, PNS menasihatkan supaya Otai Burger sebagai francaisor memberi lebih khidmat kepada francaisi.

Selepas ini, pihak pengurusan akan sentiasa turun padang bagi melihat perkembangan perniagaan francaisi dan memantau dari masa ke semasa.

“Kami akan mencari penyelesaian bagi membantu masalah yang dihadapi mereka sekiranya mengalami kejatuhan jualan.

“Ini termasuk permohonan lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jumlah gerai yang sepatutnya sudah mula menjalankan operasi,” katanya.

Sebanyak 62 kiosk akan dikendalikan oleh 19 francaisi baru yang menerima pembiayaan dari PNS, menjadikan jumlah operasi francaisi kini 194 kiosk.

Walaupun tiada kemasukan francaisi baru, Otai Burger dapat menampung perbelanjaan dan kos operasi apabila menjangkakan pulangan kira-kira RM500,000 setiap bulan.

Menurut Suhaimi, perniagaan francais amat berat kerana tidak ramai usahawan Bumiputera berjaya dalam industri ini tanpa sistem dan kewangan yang kukuh.

“Namun, dengan jaminan sistem francais dan kemudahan pembiayaan yang disalurkan sebagai modal, ia menyokong untuk mencapai kejayaan,” katanya.

PNS bukan sahaja berperanan menyediakan kemudahan pembiayaan, tetapi apa yang lebih penting memastikan infrastruktur francaisor lebih lengkap.

Ini merangkumi pelan pembangunan, pusat latihan, sistem dalaman dan kelengkapan pejabat sebagai kemudahanan untuk perniagaan francais.

Suhaimi berkata, pihaknya akan terus berhubung dan berbincang dengan PNS, manakala agensi itu perlu memahami keperluan francaisor dan francaisi.

“Jika terdapat kerjasama semua secara telus dan lebih adil, saya pasti hasrat kerajaan untuk melahirkan 50 francaisor dan 1,000 francaisi di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dapat dicapai,” katanya.

Menurutnya, sasaran untuk melahirkan seramai 240 usahawan francais masih kekal, tempohnya dilanjutkan, mungkin dari tiga tahun kepada lima tahun.

“Kami akan berusaha untuk berkembang lebih baik dan membantu melahirkan usahawan francais Bumiputera sekiranya terus diberikan kepercayaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan PNS, Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki pula berkata, dengan niat untuk membantu industri francais, pihaknya bersetuju untuk mengeluarkan baki pembiayaan kepada Otai Burger.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan itu dikenakan syarat di mana tindakan akan diambil untuk memperbaiki sistem sedia ada.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam perkembangan francais, adalah mustahak sekiranya sistem francais itu diperkukuhkan.

“Jika tidak, francaisor bukan sahaja akan berhadapan dengan masalah, tetapi juga francaisi. Kegagalan mereka menunjukkan PNS juga gagal,” katanya.

Menurut Syed Kamarulzaman, PNS berperanan untuk membantu dan bersedia menerima teguran untuk memperbaiki perniagaan kepada lebih baik.

Pun begitu, francaisor seharusnya faham bukan hanya jumlah francais yang dikeluarkan dijadikan pengukur, tetapi bilangan yang berjaya juga diambil kira.

“Oleh itu, francaisor perlu meningkatkan aktiviti pemantauan bagi memastikan peniaga di bawah seliaan mereka berjaya.

“Mereka menjadi francaisor disebabkan oleh ilmu dan pengalaman yang dilalui ketika bergelar usahawan dan ini merupakan tanggungjawab besar.

“Kejayaan francaisi sebenarnya adalah kejayaan mereka juga. Paling mustahak apabila kejayaan seluruh sistem dapat dinikmati bersama,” katanya.

Apabila seseorang francaisi itu berjaya, maka akan lebih ramai calon mendapatkannya bagi memastikan mereka mendapat perniagaaan itu.

Sebagai francaisor, pembangunan perniagaan berdasarkan kemampuan mereka, menjadikan nilai kekuatan dalaman kukuh jangka panjang.

“Perniagaan francais sepatutnya boleh mengharungi ribut taufan dan francaisor umpama nakhoda memastikan segalanya dalam keadaan selamat,” katanya.

PNS bersedia membantu mereka yang berkelayakan, namun komunikasi secara terbuka amat penting supaya perjalanan perniagaan francaisor lebih difahami.

“Antara masalah yang berlaku apabila tiada komunikasi secara terbuka kerana masing-masing mempunyai agenda sendiri dan ini perlu dielakkan,” katanya.

PNS mengharapkan agar semua yang dibantu dapat berdiri atas kemampuan sendiri pada suatu hari nanti dan tahap kebergantungan dapat dikurangkan.

“Kekuatan dalaman adalah penting untuk memasti kejayaan berterusan kerana bukan mudah untuk memperoleh kesenangan,” kata Syed Kamarulzaman.