Social Icons

google plus email

Tuesday 29 October 2013

Antara francaisor, francaisi dan jenama Seri Malaysia




Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn Bhd (Seri Malaysia) akan memperkenalkan konsep perniagaan baru sebagai inisiatif untuk mengukuhkan jenama dalam industri perhotelan.

Pada masa ini, hotel bertaraf dua bintang itu berperanan sebagai francaisor yang bertanggungjawab meluaskan rangkaian kendalian francaisi.

Pengarah Urusannya, Zahriah Abd Kadir berkata, penjenamaan merupakan strategi sebagai persediaan awal sebelum Seri Malaysia menembusi pasaran antarabangsa pada masa akan datang.



Beliau berkata, pendekatan bijak itu turut membantu meningkatkan pertumbuhan dalam pelancongan domestik ekoran kemelesetan ekonomi pada tahun ini.

“Mereka yang berminat akan membangunkan hotel menggunakan jenama Seri Malaysia dan mengikut keperluan dan piawaian yang ditetapkan.

“Peluang itu terbuka kepada hotel baru dan sedia ada yang diuruskan melalui peruntukan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Berbeza pendapat cabaran francaisor

Seri Malaysia menyediakan kemudahan dan sistem terancang, namun francaisi perlu berusaha keras untuk menjadikannya sebagai hotel terbaik.

Berdasarkan pengalaman sebelum ini, rangkaian hotel akan melalui proses penambahbaikan dengan melakukan perubahan dan pembaharuan.

Menurut Zahriah, bukan mudah untuk menerajui sebagai francaisor kerana faktor perbezaan sikap, pendapat dan penerimaan dari francaisi.

“Perniagaan francaisi mempunyai sistem dan peraturan serta piawaian yang ditetapkan,. Jika francaisi tidak mengikutinya, perjalanan perniagaan mungkin terjejas.

“Justeru, mereka perlu mematuhi sistem francais di samping menggunakan inisiatif dan kreativiti untuk menaik taraf Hotel Seri Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Kewujudan Seri Malaysia di beberapa tempat seluruh negara membuktikan bahawa aset perhotelan itu memberi kesan baik kepada pembangunan kawasan sekitar.

Sektor pelancongan turut menjana pendapatan penduduk tempatan melalui peluang pekerjaan dan membantu meningkatkan pertumbuhan industri sampingan.

“Tidak dinafikan lokasi amat penting untuk memulakan perniagaan kerana memberi keuntungan dan terus kukuh dalam industri.

“Namun, Seri Malaysia berani tampil kelainan dengan meneroka kawasan yang kurang popular bagi mewujudkan segmen pelancongan baru berikutan terlalu banyak hotel lebih tertumpu di kawasan bandar,” katanya.

Sehingga kini, Seri Malaysia mempunyai 18 cawangan di seluruh negara dan 17 hotel daripada jumlah itu dikendalikan oleh francaisi.

Rangkaian terbaru ke-19 akan dibangunkan di Kepala Batas, Pulau Pinang dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada Januari ini.

Francaisi harapan 2008

Baru-baru ini, Persatuan Francais Malaysia (MFA) menganjurkan Anugerah Francais Malaysia 2008 menyaksikan salah satu francaisi Seri Malaysia iaitu Seri Malaysia Melaka diiktiraf sebagai Francaisi Harapan 2008.

Francaisi atau Pengarah Besarnya, Sazali Sabri berkata, sistem francais yang dipatuhi dan mempunyai pengalaman dalam bidang perhotelan serta kerjasama berkumpulan yang kuat merupakan antara faktor yang mengukuhkan Seri Malaysia Melaka.

“Ternyata sistem francais yang diperkenalkan terbukti memberi keuntungan di samping melancarkan pengurusan perhotelan.

“Seri Malaysia Melaka kini semakin dikenali dan mencatatkan peningkatan dalam kadar purata penginapan sehingga 97 peratus berbanding sewaktu pembukaan,” katanya.

Seri Malaysia Melaka yang memulakan operasi sejak tiga tahun dahulu memberi fokus utama tahun ini untuk memajukan hotel ke peringkat lebih tinggi dengan mengintai peluang perniagaan lain.

Beliau berkata, pelancongan perubatan terkini dan pengiktirafan Melaka sebagai Bandar Warisan Dunia oleh Unesco dijadikan peluang sepenuhnya untuk mengembangkan perniagaan.



“Kami akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, Kementerian Pelancongan dan Seri Malaysia (francaisor) bagi tujuan promosi,” katanya.

Walaupun krisis kewangan global mengakibatkan kemelesetan ekonomi, namun perniagaan Seri Malaysia kurang terjejas kerana mensasarkan pelancongan domestik.

Menurut Sazali, Seri Malaysia adalah jenama yang sudah dikenali dengan rangkaian yang kukuh memberi kelebihan kepada beliau untuk memajukan perniagaan perhotelan.

“Oleh itu, usaha untuk mengembangkan hotel tetap akan dilaksanakan sekiranya mempunyai peluang meskipun dalam persekitaran yang mencabar pada tahun ini,” katanya- Sinar Harian

rujukan: