Social Icons

google plus email

Tuesday, 29 October 2013

Langkah Pertama Ke Luar Negara

 
QUTREN Nada Ahmad memberikan tanda bagus ketika memperkenalkan Taska CIC yang diasaskannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Utusan Online


KUALA LUMPUR 1 Mei - Selepas bertapak 14 tahun di pasaran tempatan, penyedia pusat perkembangan kanak-kanak dan francaisor Children Islamic Centre (CIC), Proquaz Sdn. Bhd. (Proquaz) kini merancang untuk melangkah ke luar negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Qutren Nada Ahmad, pada tahun ini, Proquaz menyasarkan untuk meluaskan francaisnya ke Arab Saudi dan Jakarta, Indonesia.

Qutren Nada yang merupakan pengasas CIC berkata, francais luar negara di Jakarta, akan dilakukan Julai ini dan Arab Saudi pula pada tahun depan.

''Kami kini peringkat akhir untuk memuktamadkan keputusan mengenai pembukaan CIC, sebuah taman asuhan kanak-kanak Islam, di Jakarta bulan depan.

''Proquaz mahu membuat prototaip CIC di Jakarta dengan kos perbelanjaan sebanyak RM500,000," kata beliau yang memiliki ijazah sarjana komunikasi Universiti Putra Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. 

Qutren Nada berkata, Jakarta dijadikan pilihan kerana sambutan yang ditunjukkan oleh beberapa individu perniagaan Indonesia ketika menyertai pameran francais di sana tahun lalu.

''Mereka merupakan rakan perniagaan berpotensi Proquaz memandangkan rakyat Islam di sana juga ramai selain Arab Saudi,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

CIC ditubuhkan pada 1997 yang lalu dengan menggunakan nama asal Nada Child Development Centre dan nama itu ditukar pada 1999 yang lalu.

Ilham pembukaan CIC pada awalnya adalah sebagai memenuhi keperluan pendidikan anak sulung Qutren Nada yang berusia tiga tahun ketika itu.

Beliau berbangga dengan kejayaan yang dicapai setelah melalui segala pahit getir dengan mengendalikan sebuah CIC dengan modal RM50,000 di Puchong, Selangor yang dibangunkan dengan model pendidikan diperkenalkan sendiri.

''Saya menawarkan perniagaan francais CIC sejak Mei tahun lalu apabila mendapatinya sebuah satu perniagaan yang berpotensi.

''Ia ditawarkan bukan untuk mendapatkan keuntungan semata-mata tetapi atas rasa tanggungjawab menyediakan sumber pendapatan,'' kata beliau

Proquaz kini mempunyai 26 buah cawangan, kesemuanya di Lembah Klang dengan 150 kakitangan dan lima daripada cawangannya merupakan pemegang francais. 

Ditanya tentang sambutan taska yang menerima kanak-kanak dari usia dua hingga enam tahun, beliau berkata, hampir setiap hari panggilan telefon diterima daripada individu yang berminat menjalankan perniagaan francais.

Qutren Nada menambah, pihaknya menyasarkan untuk menawarkan francais perniagaannya kepada 10 francaisi setahun.

Katanya, tahun lalu, sebagai permulaan, sebanyak lima francaisi telah bekerjasama dengannya.
''Kami di Proquaz sentiasa turun padang dan melihat konsep francais yang ditawarkan menepati kriteria dan seperti mana yang kami sebagai francaisor lakukan, '' tegas beliau.

Ketika ditanya kos untuk membuka sebuah CIC secara francais, Qutren Nada berkata, pelaburan sebanyak RM150,000 diperlukan dengan 30 peratus adalah wang daripada saku sendiri.

Sekiranya mereka gagal untuk menyediakan perbelanjaan sendiri mereka boleh berunding secara langsung dengan Proquaz selain mendapatkan bantuan agansi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) dan beberapa yang lain untuk bantuan.

Rujukan: